Sejarah Rembia

Latar Belakang

Rembia adalah sebuah kampung tradisional yang terletak 8km dari bandar Alor Gajah dan 17km dari bandar Melaka. Kampung Rembia berasal dari nama pokok rumbia yang suatu ketika dahulu banyak terdapat di kawasan penempatan awal kampung ini. Kini Kampung Rembia terletak dalam DUN Rembia dan dalam Parlimen Alor Gajah. Pentadbiran Kerajaan adalah dalam Daerah Alor Gajah dan Pentadbiran Kerajaan Tempatan di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Petempatan awal sebuah kampung tradisional iaitu Kampung Rembia terus berkembang dan mempunyai sebuah pekan kecil iaitu Pekan Rumbia, seterusnya berkembang pesat dan kini mempunyai 8 buah taman dan dua buah kawasan perindustrian. Antara taman-taman perumahan yang terdapat di Rembia ini ialah Taman Rumah Awam Rembia, Taman Rembia Jaya, Taman Bukit Rembia, Taman Rembia Setia, Taman Rembia Utama, Taman Rembia Permai, Taman Rembia Perkasa, dan Taman Rembia Cemerlang.

Kawasan perindustrian pula ialah Kawasan Perindustrian Rembia dan Kawasan Perindustrian Sun Valley. Rangkaian perhubungan utama ialah Lebuh AMJ, rangkaian jalan bandaran dan jalan kampung.

Lagenda

Penempatannya mula dibuka di sekitar kawasan Pekan Rumbia yang ada pada hari ini. Ia telah dibuka oleh beberapa ahli keluarga Sultan Melaka dan ahli-ahli keluarga orang istana Melaka. Ia turut disertai oleh pengikut-pengikut istana yang terpaksa melarikan diri dari serangan orang-orang Portugis pada awal pemerintahan Portugis yang pada masa itu telah berjaya menakluki Melaka.

Setibanya di sini, mereka mendirikan balai-balai dan kediaman sementara untuk berteduh. Penempatan mereka telah dapat dikesan oleh Portugis. Mereka telah diserang dan balai-balai kediaman dibakar. Ahli keluarga Sultan Melaka terpaksa berpecah dan melarikan diri dari ditangkap oleh Portugis. Pengikut-pengikut keluarga Sultan Melaka ada yang terus melarikan diri dan ada yang terus menetap di sini. Justeru, mereka telah menamakan kampung ini sebagai Kg. Balai Terbakar sempena kejadian balai-balai kediaman mereka yang dibakar.

Pada zaman pemerintahan Belanda, orang Melayu Riau dari Sumatera mula masuk ke Tanah Melayu untuk mencari kawasan penempatan. Terdapat tiga beradik iaitu Penghulu Awang, Penghulu Mak Nyah dan Tok Juan yang mengetuai usaha mencari penempatan baru bagi kumpulan mereka. Mereka bertiga berpecah dan Tok Juan dikatakan membuka kawasan di Kg. Sungai Petai, Penghulu Mak Nyah pula di katakan telah membuka Kg. Paya Rumput yang masih wujud hingga hari ini.

Manakala Penghulu Awang pula membuka Kg. Balai Terbakar. Beliau bersama penduduk tempatan di situ meneroka dan membuka kawasan penempatan yang lebih luas lagi. Kawasan sekitarnya dipenuhi dengan hutan dan pokok rumbia. Lantaran itu, mereka menamakan kampung ini sebagai Kampung Rumbia bagi menggantikan nama Kampung Balai Terbakar. Nama Kg. Rumbia telah kekal hingga ke hari ini.

                  

Contoh gambar pokok rumbia yang suatu ketika dahulu banyak terdapat di kawasan penempatan awal Kg. Rembia


Sejarah Alor Gajah

Nama Alor Gajah berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketuai oleh seekor gajah putih. Gajah berkenaan dilihat sangat gemar berjalan secara berkumpulan menurut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini. Atas keadaan itu penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah.

Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau di Tampin pada masa pemerintahan kesultanan Melayu Melaka maka wujudlah pemerintahan Melayu di Bandar Alor Gajah.

Alor Gajah mempunyai keluasan 660 km persegi (66,500 hektar) mengandungi tiga buah bandar utama iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah dan Pulau Sebang.Semasa pemerintahan British di Tanah Melayu seorang pegawai British telah ditempatkan di Alor Gajah bagi mengutip hasil. Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab tersebut, Pejabat Daerah telah ditubuhkan agar perlaksanaan tugas dapat dijalankan dengan sempurna. Sehingga kini Daerah Alor Gajah telah mempunyai 34 orang Pegawai Daerah sejak tahun 1938.

*sumber dari http://www.pdtag.gov.my/